Alia tidak mampu menahan rasa sebaknya. Terasa dirinya begitu hina dan dia malu diperlakukan begitu di depan semua orang. Bagi mereka, lelaki bernama Asuka itu adalah ayahnya. Tidak patut Alia melayan lelaki itu dengan kasar dan biadap. Tapi mereka tidak tahu apa sebenarnya hubungan mereka dan apa yang lelaki itu sudah lakukan dalam kehidupannya.
"Kau tahu sebab apa mak kau mati? Sebab kau bawa bala dalam hidup dia." Kuat dan lantang suara perempuan di sebelah Encik Asuka berkata. Alia masih berada di lantai selepas rebah ditolak oleh perempuan itu.
"Lelaki ni ayah kau. Tahu?" Jerit perempuan itu. Alia tergelak sendiri. Dia gagahkan diri untuk bangun tapi tidak berjaya.
"Ayah? Ayah aku hanyalah Kamarulzaman bin Ahmad Hamidi. Yang mati kerana lelaki di sebelah kau, Im. Aku bukan berbintikan Abdullah Asuka. Nama aku Kamalia binti Kamarulzaman." Alia berkata kuat. Fatima terkejut mendengarnya. Belum sempat Fatima bersuara, Alia dilempang oleh Encik Asuka.
"Patutnya aku bunuh kau sekali." Bisik Encik Asuka perlahan di telinga Alia.
Alia memegang pipinya. Dari jauh dia melihat Anaqi berlari ke arahnya. Hatinya berasa lega tiba-tiba. You're always my wonderwall, bisik hati Alia. Alia sempat perasan beberapa orang pelajar di situ berbisik sesama mereka apabila melihat kemunculan Ohana. Emir yang turut muncul di situ terus melepaskan tumbukannya pada Encik Asuka.
"Mir, stop it. Kay masih ada di sini." Daniel menenangkan Emir yang jelas begitu marah dengan keadaan itu. Irsyad turut bersiap sedia takut Anaqi hilang sabarnya. Qayd yang datang dalam wajahnya yang bertutup memberi isyarat supaya mereka meninggalkan kawasan itu segera.
"Kau dengar sini, orang tua. Sekali lagi aku dapat tahu kau ganggu Alia, mati kau aku kerjakan." Emir memberi amaran pada Encik Asuka. Dia melirik pada Alia yang berada dalam pelukan Anaqi. Situasi yang sama seperti bertahun-tahun dahulu. Muka Emir merah menahan marah. Irsyad dan Daniel menarik Emir dari situ dan berjalan di belakang Anaqi dan Alia.
Qayd mendekati Encik Asuka. Sebagai lelaki dia berasa jijik dengan lelaki itu. Dia tidak dapat bayangkan apa perasaan Anaqi punya ayah sebegitu. Tangan Encik Asuka digari. Begitu juga dengan perempuan di sebelahnya. Qayd tidak terus pergi dari situ walaupun Encik Asuka dan perempuan itu sudah dibawa ke balai polis menggunakan kereta polis.
Qayd melihat sekeliling mencari CCTV. Matanya terpandangkan seorang perempuan yang berdiri tidak jauh dari situ yang turut memandangnya.
Sampai di balai polis, Qayd terus meluru ke biliknya. Sampul surat coklat di atas meja terus dibukanya.
Terima kasih selalu jaga Kay dari jauh. Kay tahu you suka dia, tapi dia tak tahu siapa you sebenarnya. Jagakan Kay untuk I lepas ni. Oh ya. Anaqi tak perlu tahu tentang I.
Qayd tersandar ke kerusinya. Siapa sangka orang yang selama ini selalu memberikan info tentang Encik Asuka adalah Nisa. Segala isi di dalam sampul itu dicurahkan ke atas meja. Qayd mengambil satu gambar. Dia tersenyum sendirian.