Khamis, 7 Disember 2017

Empat.

Puteri Harbour seakan sepi pada waktu tengahari. Walaupun pada ketika itu cuti umum. Beberapa pasangan pengantin bergambar mengabdikan kenangan berlatarbelakangkan kapal-kapal mewah. Hakim menoleh pada susuk tubuh yang acapkali dia nampak pada waktu itu.

"Senyum sorang-sorang ni makruh cik adik."

Balqis terkejut. Ditoleh kepada empunya diri yang berjalan menghampirinya. Dia kaget. Bayangan pengantin yang bergelak-ketawa di depannya terbang pergi.

"Hakim. Hakim Iskandar."

Tanpa dipinta, lelaki itu memperkenalkan diri. Balqis hanya membisu. Masing-masing memandang ke arah pengantin Cina yang bergambar di depan mereka. Jarak mereka boleh dikatakan terpisah oleh tiga orang.

"Hakim Iskandar. Nama macam lelaki kaya. Lelaki berada. Lelaki playboy."

Balqis menggumam perlahan namun cukup kuat pada pendengaran Hakim terutama ayat yang terakhir. Lelaki itu menoleh seketika ke arah gadis itu meminta kepastian. Balqis menyembunyikan tawanya menyedari kesilapan sendiri.

"I got to go. Thanks for the reminder then."

Balqis pamit pergi meninggalkan Hakim yang terpinga-pinga dengan reaksinya.

"Lady, can you do me a favour?"

Hakim cuba menahan. Balqis memberhentikan langkahnya dan tanpa menoleh ke belakang dia bersuara.

"An-Nur, verse 30."

"What?"

"Open the Holy Quran. An-Nur, verse 30."

Hakim tersengih kelat. Bukan dia tak faham makna ayat itu. Ayat yang bukan asing di bibirnya sendiri. Hakim ketawa kecil.

"Lady. May Allah bless your life."

“Katakanlah kepada laki-laki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.” (An-Nur : 30)

+++++

"Beb. Tak lepak tempat biasa ke?"

Warda menepuk bahu Balqis. Gadis itu tersedak. Air di mulut tersembur keluar.

"Kau rasa cukup tak amal kau kalau Izrail jemput kau sekarang?"

Kening kiri diangkat pada Warda. Warda ketawa kuat.

"Aku tak kahwin lagi Qis."

"Hah! Itu je lah kan yang kau fikir. Eh. Apa kau ingat kahwin itu je ke matlamat hidup kau? Mati tu benda yang terlalu pasti Wardatul Syauqah. Nama je nak best. Amal tarak."

Warda ketawa lagi. Balqis dengan sarkastiknya memang tak dapat dipisahkan. Bukan sehari dia mengenali gadis itu tapi sejak mereka sekolah menengah lagi.

"Yang kau tetibe emo tahap Gunung Ledang ni kenapa?"

Balqis tidak menjawab. Pandangannya dihala pada laut di depannya. Country Garden bertukar pengunjung. Bangku di sebelah mereka juga sudah banyak kali bersilih ganti manusia. Johor Bahru mana pernah sunyi. Sejak jadi penganggur terhormat lepas habis ijazah, Balqis hanya aktif dalam sukarelawanita dan menghabiskan masa di rumah anak yatim. Warda berlalu pergi bila Balqis seakan mahu menyendiri dan dia sendiri sebenarnya ada kerja. Lunch hour sudah hampir menuju penamatnya.

Kau jangan lama-lama kat situ. Ada mamat yang ralit tengok kita tadi.

Balqis membaca BBM yang dihantar oleh Warda. Ditoleh pada sekelilingnya. Matanya tertancap pada sekujur tubuh yang turut memandangnya. BlackBerry disimpan dalam beg dan dia bingkas bangun.

Why people do not hold verse 30 and 31 of An-Nur and make it as their daily reminder?

+++++

"Kau nak join tak muqayyam di Mersing?" Ilyas bertanya. Hakim menarik planner miliknya di atas meja. Memeriksa jika ada sebarang temujanji.

"Minggu ni je bro. Minta la rehat daripada abi kau. We need your help for some slots." Pinta Ilyas.

"Kenapa aku?"

"Well. Tuan Lukman Hakim Tuan Iskandar. Siapa yang tak kenal."

Hakim mendongak memandang Ilyas yang ketawa kecil. Teringat akan insiden dahulu.

"Tak payah mengenang cerita lama. Yang pentingnya sekarang, kau nak tolong aku ke tak ni?"

"Aci macam tu nak minta tolong aku."

"Eleh. Bukan hari ni aku kenal kau. Sejak kau jadi budak Aussie aku kenal kau."

"Mengungkit."

Tawa mereka bergabung.

"Ye lah. Aku on."

"Kira settle part penceramah. Untuk bayaran, nanti aku bincang kemudian dengan kau."

"Bayaran apa?"

"Untuk ceramah tu lah. Macam tak biasa."

"Tak payah lah bro. Fokus untuk kebajikan peserta-peserta nanti. Makan minum meraka perlu diutamakan. Jangan ada yang tak cukup makan pula."

Ilyas tersenyum. Lelaki itu persis Tuan Iskandar Tuan Ismail. Duit bukan segalanya buat mereka.

"As you said just like now. Thanks. Allah jualah yang mampu membalasnya."

Ilyas bangun menyalami Hakim. Bahu lelaki itu diraih mesra ke dalam pelukan.

"Nanti aku e-mel tentatif program dan tajuk ceramah. Aku minta diri dulu. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam."

Hakim menarik nafas perlahan. Dia menghempaskan dirinya ke atas sofa di dalam pejabatnya. Baru saja nak melelapkan mata, pintu dibuka dari luar.

"Angah, jom lunch." Husna segera memboloskan diri ke pejabat abangnya.

Hakim tidak menjawab. Matanya dikatup semula. Dirinya seakan malas mahu keluar pejabat. Tubuh Hakim digoyang oleh Husna. Hakim menepis tangan adiknya sambil mata masih terpejam.

"Adik ajak Along lah pergi lunch. Angah tak rasa nak makan lah."

"Along dah keluar dengan Kak Warda sekali dengan Abang Ilyas tadi."

"Hah?"

"Bukan tadi Abang Ilyas datang dengan Along dengan Kak Warda ke? Tapi kan. Kawan Kak Warda lawa tau tapi tegas."

Kata-kata Husna bagaikan angin lalu yang menampar pendengarannya.

+++++

“Dik, ok tak? Kawan adik mana?”

Balqis yang sudah ke depan terpaksa berpatah balik bila mendengar ayat cemas Warda. Dikerling pada tubuh kecil di sebelah Warda.

“What’s wrong? Bukan sepatutnya student semua dalam kumpulan masing-masing ke?” soal Balqis. Warda menggeleng. Gadis itu terdiam mendengar suara Balqis.

“Kenapa ni Warda? Bukan sepatutnya peserta perempuan dah lepas ke bawah?”

Suara lelaki menyapa mereka. Balqis tidak mengendahkan suara itu. Dipegangnya kaki gadis itu dan tangannya menyentap kasar. Jeritan bergema seketika.

“Qis! Agak lah kot. Kesian budak tu.” Ujar Warda.

“Dah. Jom turun bawah. Nanti ok la tu kaki.” Balas Balqis. Malas mahu lama-lama di puncak gunung. Pantai di bawah bagaikan memanggil namanya.

“Kaki a.. Allahuakbar! Husna rupanya. Hakim mana? Tadi kata nak ajak Husna sama.” Ilyas memerhatikan sekeliling. Hanya mereka berlima dan sekumpulan pelajar lelaki yang tinggal di situ. Balqis ketawa sinis.

“Adik Abang Hakim ke bang?” tanya Warda. Ilyas mengangguk.

“Who is Hakim now? Tak reti dah nak jaga adik sendiri.” nada Balqis berubah.

“Beb, please. Ok guys. Jom turun.“

Sampai di tepi pantai, mereka dikerumuni oleh beberapa orang pelajar yang rapat dengan Husna. Balqis terus mengasingkan diri. Langkahnya menuju mencari air laut.

“Kenapa dengan Husna?” Hakim yang sememangnya mencari adiknya itu segera mendapatkan mereka. Ilyas memerhatikan Warda yang berlari di tepi pantai.

“Kaki dia terseliuh. Tapi jangan risau. She will get well soon. Kawan adik aku memang pandai bab-bab patah dan seliuh ni.” balas Ilyas sambil memegang bahu Hakim. Tahu kerisauan di hati lelaki itu.

“Who is the nice girl then? I wanna say thanks to her.”

Ilyas ketawa.

“Better you make a distance with her. Don’t ever try talk to her now.”

+++++

“Esok hari terakhir kita di sini. Untuk sebarang masalah kalau ada, boleh bagitahu pada saya, Abang Hakim, Abang Hilmi atau Abang Lutfi. Yang perempuan, boleh cari Kak Syafikah atau Kak Warda. Kalau rasa nak kena telan, cari Kak Balqis.”

Serta-merta tawa kedengaran dalam dewan. Balqis mencerlungkan matanya. Syed Ilyas, you must pay for this. Balqis menyampaikan pesanannya melalui genggaman tangannya. Ilyas ketawa di depan.

“Ok. Abang serahkan pada Abang Hakim untuk slot berikutnya. Untuk pengetahuan semua, Abang Hakim ni merupakan owner Tinta Tuan yang juga merupakan anak kepada Tuan Iskandar Tuan Ismail, motivator yang terkenal. Jadi, kalau boleh abang nak adik-adik semua ambil sebanyak mana pengalaman Abang Hakim dan kalau boleh tanya apa yang adik-adik rasa musykil. Tuan Lukman Hakim Tuan Iskandar, dipersilakan.”

Balqis mengangkat muka. Mikrofon beralih tangan.

“Nama je nak best. Amal tarak.” Ujar Balqis perlahan namun sempat didengar oleh Ilyas yang baru duduk di sebelah Warda. Warda mengangkat bahu, malas mahu bertekak.

“Kau kenapa duduk sini? Tak join yang lain buat LDK ke?” Warda mengambil tempat di sebelah Balqis yang sedang makan keropok lekor.

“Kak Ika dan kau kan ada. Lagipun orang hebat punya slot. Mana boleh kacau. Lagipun aku tak involve untuk program malam ni. Tolong tengok je.” Keropok disumbat lagi ke dalam mulut. Mak Mah yang merupakan tukang masak untuk Muqayyam Remaja Kental itu tersengih mendengar jawapan anak muda itu.

“Itu juga yang dikatanya pada Mak Mah.” Mak Mah duduk di depan mereka dengan segelas teh ais.

“Malam-malam minum ais. Meh sini sikit.”

Mereka berdua buat muka dan ketawa serentak. Sudah biasa dengan diri masing-masing.

“Anak berdua ni mesti rapat kan?” Mak Mah bertanya. Warda dan Balqis tersenyum.

“Sejak sekolah menengah lagi Mak Mah.” Warda membalas bagi pihak mereka.

“Mak Mah, nak teh ais bungkus satu.” Suara lelaki yang bukan asing buat mereka berdua membuatkan Warda tersedak. Ditolehnya ke belakang. Hakim yang tidak jauh daripada mereka mengukir senyuman. Balqis masih lagi dengan keropoknya tanpa mempedulikan lelaki itu.

“Abang Hakim, malam-malam ni minum teh ais gak ke?” soal Warda.

“Orang yang pandai menghargai je boleh rasa nikmat minum ais waktu malam.” Balas Hakim dan berlalu pergi. Warda mengekek ketawa mengenakan Balqis.

+++++

Orang yang pandai menghargai je boleh rasa nikmat minum ais waktu malam.

Balqis tersenyum sendiri bila ingat ayat tu. Teh ais di depannya direnung. Bibirnya menguntum senyuman. Kemudian dia segera beristighfar. Tidak mahu terbuai oleh perasaan.

“Balqis. Behave. Dia bukan sesiapa buat kau. Jangan melebihkan Allah dengan apa-apapun.” Balqis berkata sendiri.

Amir ketawa di depan pintu.

“Nama je nak best. Amal tarak.”

“Aci main terjah macam tu kan.” riak muka Balqis berubah. Hampir saja gelas di tangan jatuh. Amir duduk di sebelah Balqis. Kepala adiknya diusap lembut. Balqis menepis tangan Amir.

“Jom ikut abang balik Sydney. Sambung study kat sana.”

Balqis ketawa. Mahu pening Amir kalau dia ikut abangnya ke Sydney. Bukan dia tak tahu macam mana life Amir di sana.

“Al bukan taknak bang. Tapi bagi Al masa.”

“Abang boleh bagi Al masa, tapi macam mana kalau abang yang tak cukup masa?”

Gelas di tangannya terhempas ke lantai juga.

Balqis terkejut. Warda yang berada di dapur turut menjengah ke bilik bacaan.

“Qis, kau ok? Kenapa kau nampak pucat ni?” Balqis terus dihampirinya. Warda perasan Balqis menyeka air mata di pipinya.

“Teringat kat arwah Abang Amir. Rasa macam baru je berbual dengan dia. Dia ajak aku pergi Sydney. Tapi aku tolak. Dan hari tu hari terakhir aku dengan dia dalam bilik ni. Rumah yang dah lama sunyi tanpa penghuninya.”

Balqis berkata sayu. Kemudian dia ketawa sendiri.

“Aku nak sambung master di Sydney. Abang Amir pernah kata jodoh aku ada kat sana.”

Balqis masih ketawa. Warda yang pelik pada awalnya turut ketawa. Baginya, Balqis sangat istimewa. Seorang yang nakal tapi cukup menghormati abangnya. Mereka dua beradik piatu sejak Balqis tingkatan satu. Dan kehilangan Amir Iqbal memberi kesan yang ketara buat Balqis.

“Abang Amir pernah cakap. Hidup ini untuk meraih redha Ilahi. Bukan bertuhankan nafsu semata.”

Warda tersenyum. Dia mengangguk. Itu juga yang dipesan oleh keluarganya.

+++++

“Macam bising je rumah kau. Ada siapa lagi?”

Mereka berdua melangkah ke dapur. Kek Puding Pelangi dan spageti yang sudah tersedia terhidang dipelawa pada Hakim. Ilyas mengambil teh ais yang disimpan dalam peti ais.

“Makanlah. Rezeki kau malam ni. Kawan Warda ada kat atas. Dia minta tolong aku hantarkan ke Senai esok pagi. Selalu kalau Balqis datang, memang riuh lah rumah ni. Tapi tak pernah pula aku dengar suara dia.”

“Malu sebahagian daripada iman.” Balas Hakim. Ilyas mengukir senyuman tanda setuju.

“By the way, kejap lagi aku bagi pendrive gambar-gambar muqayyam hari tu. Sorry kau terpaksa datang ke sini ambil sendiri.”

“It’s ok. Kebetulan aku baru balik dari office.” Balas Hakim. Kek disuap ke mulut.

“Sedap. Umi buat ke?”

“Taklah. Balqis dengan Warda yang masak untuk kami sekeluarga malam ni. Dia dah nak ke Sydney lusa.”

Hakim tersedak. Ilyas menghulurkan air. Dia ketawa tiba-tiba.

“Pantang sebut Sydney. Terus mengimbau memori lama eh bro.” Ilyas mengusik. Hakim tersengih kelat.

“Sydney was my best memory ever. Perginya Iqbal turut membawa separuh diri aku.” Balas Hakim.

“Iqbal..”

Belum sempat Ilyas meneruskan ayatnya, Warda dan Balqis muncul. Hakim menoleh seketika dan menyuap pula spageti ke mulut. Balqis mengambil dua biji epal dan terus menarik tangan Warda keluar dapur. Namun sempat melirik pada buku di atas meja. Ilyas menarik nafas perlahan.

“Dah sampai masanya kau tunaikan janji kau pada arwah.”

Senyap. Hanya kedengaran bunyi sudu berlaga dengan pinggan.

+++++

Beberapa tahun dahulu…

Iqbal meluruskan kaki di atas rumput di Observatory Hill Park selepas selesai solat di Sydney CBD Musalla. Jeans coat ditarik rapat ke badan. Sydney Harbour Bridge dipandang lama sebelum dia disapa oleh seseorang.

“Assalamualaikum bakal abang ipar.”

Iqbal menguntum senyuman dan menjawab salam Hakim. Buku nota bersulam Al dibuka.

“Enta menungkan apa?” Hakim bertanya bila Iqbal hanya senyap. Yang lain bertilamkan rumput dan mata masing-masing memandang ke langit yang luas terbentang. Angin petang yang sangat sejuk menemani mereka.

“Maha Suci Allah yang menciptakan manusia berpasang-pasangan.” Ujar salah seorang daripada mereka.

“Syeikh, fikir  tentang baitul muslim?” tanya Iqbal. Rayyan tersipu malu. Iqbal hanya melemparkan senyuman dan kembali menoleh pada Ilyas di sebelah.

“Ana dah bagitahu Alwani. Tapi dia minta masa hingga dia selesai konvokesyen. She’s just a little bit crazy girl and I do love her more than myself.”

Ayat Iqbal bagaikan menyampaikan sesuatu. Apatah lagi bukan dalam bahasa Melayu ataupun arab seperti biasa. Hakim menyoroti wajah tenang Iqbal.

“Ana akan jaga dia sebagaimana enta jaga dia. Dan ana akan cuba menjadi suami yang terbaik untuk dia.” Ujar Hakim. Segaris senyuman di wajah Iqbal melegakan hati lelakinya.

“Buku ni barang kesayangan Alwani. Al di depan buku ni merujuk kepada kami berdua. Iqbal dan Alwani. Ana harap enta boleh pulangkan pada dia kelak. Hanya ini ana mampu titipkan untuk dia sebagai ingatan.”

Hakim diam. Buku beralih tangan. Iqbal bangun dan Ilyas memanggil mereka tiba-tiba. Pelangi kembar yang muncul di sebalik Sydney Harbour Bridge menarik perhatian mereka. Dan seraya itu juga, Iqbal rebah di situ.

“Iqbal!”

Tubuh Iqbal dipangku oleh Hakim. Rayyan, Ilyas dan yang lain mendapatkan mereka berdua.

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Dari Allah kita datang, kepada Dia kita pulang.” Sebaris ayat daripada Rayyan melemahkan urat saraf Hakim.

Beribu batu dari situ, Alwani menangis bila membaca emel daripada Iqbal yang memintanya jadi seorang muslimah dan seorang wanita dambaan syurga. Dan juga ayat terakhir Iqbal.

InsyaAllah, di Jannah kita akan selamanya bersama. Fi hifzillah. Jaga iman. Jaga hati. Jaga diri. Abang sayang Al.

+++++

“Kau kenal siapa Balqis sebenarnya?”

“Kenapa kau tanya?”

“Aku macam pernah nampak dia selalu ada di Puteri Harbour. Lepas aku tegur dia, sejak tu dia dah tak muncul kat situ.”

“Love at the first sight la ni?”

Hakim tersenyum. Mana mungkin jatuh cinta lagi kalau dirinya sudah diikat bersama gadis pilihan.

“Balqis dah macam separuh daripada keluarga aku. Dia kawan baik Warda dan aku kenal dia sebab dia ada abang belajar di Sydney.”

 “Sama universiti dengan kita?”

“Righto. University of Sydney.”

“Sydney..” kata Hakim perlahan.

“Aku ingat lagi awal-awal kau datang sana. Comot je.” Ilyas ketawa tiba-tiba. Hakim yang masih teringat kehidupan di Sydney turut ketawa.

“Haha.. Real life, never stop. Datang merantau ke negara orang atas usaha sendiri. Alhamdulillah dapat biasiswa. Iqbal banyak membantu aku masa tu. Aku rindu dia bro.” balas Hakim.

Tawa Ilyas masih bersisa perlahan. Kemudian dia mengangguk mengakui ayat terakhir Hakim.

“Adik dia?” duga Ilyas.

“Cintakan manusia tidak boleh melebihi cinta kepada Allah. Ada jodoh tak ke mana. Aku tak pernah berjumpa dengan adik Iqbal. Sekadar sebaris nama yang menjadi pengingat bahawa aku sudah menjadi tunangan orang. Cuma kebelakangan ni, aku bagaikan dapat rasa kehadiran Iqbal di sini.”

“Sebab tu kau bawa buku tu ke mana sahaja kau pergi?”

Hakim mengangguk. Ayat Iqbal tentang buku itu dahulu cukup diingatinya. Yang Alwani mungkin mengenali buku itu.

“Kau taknak cari siapa adik Iqbal? Tuan Iskandar dan Kak Humaira kenal. Atau tanya pada Rayyan. Mereka kan sepupu.”

“Alwani meletakkan syarat pada abi dan Along. Aku dah tanya mereka. Rayyan pula kata jodoh bukan kerja manusia, tapi Allah. Kau tahu kan Rayyan dan Iqbal tak jauh beza.”

Hakim memandang wajah Ilyas.

“Dan aku faham macam mana Iqbal survive untuk hidup kat sana, dan uruskan adik dia di sini.”

“Sebab tak semua boleh faham kesusahan orang lain melainkan mereka yang pernah merasai. Kerana itu juga adik Iqbal tak berani nak reveal diri dia depan kau.”

“Maksud kau?”

Sekeping surat dihulurkan pada Hakim. Terukir nama penuh Hakim dengan tulisan tangan yang kemas.

“Maaf sebab dah lama rahsiakan perkara ni atas permintaan Balqis dan Iqbal. Balqis terlebih dahulu mengenali kau sewaktu kau datang rumah aku malam sebelum dia ke Sydney. Surat ni Warda baru beri pada aku minggu lepas. Yang lain kau boleh tanya Rayyan. Dia pegang amanah Iqbal. Dan kau pun faham kan yang Balqis bukan sebarangan gadis. Seperti mana abangnya, begitulah adiknya. Ketegasan mereka sama.”

“Balqis? Maksud kau, Balqis dan Alwani tu orang yang sama?”

“Alwani Balqis binti Yusuf. Satu-satunya adik kepada Amir Iqbal bin Yusuf.”

+++++

Assalamualaikum..

Kita tak pernah merancang untuk dipertemukan. Namun takdir Allah lebih mengatasi segalanya. Diatur pertemuan demi pertemuan olehNya kerana ini takdir perjalanan hidup kita. Cuma izinkan diri ini untuk memenuhi kehendak hati yang telah disimpan. Di sini, mungkin hela nafas insan yang telah tiada membawa pergi masa bersama. Hakikatnya, cinta Sydney-JB tak akan pernah terpisah oleh jarak dan hilang dek masa.

Tuan Lukman Hakim Tuan Iskandar.

Nama macam best. Dan insyaAllah, amal pun best. Kan? Abang Amir pernah kata jodoh adiknya ini ada di Sydney. Tapi kerana tidak mahu nama lelaki ajnabi bertakhta di hati sebelum masanya, maka sebaris nama yang bakal menjadi pendamping hidup tidak mahu diketahui. Sydney dijejaki bukan mencari Tuan yang sememangnya ada di depan mata, tapi sebenarnya menjejaki kehidupan arwah yang lebih bermain di mata.

Encik Tunang.

Kita telah bertunang sebenarnya. Hakikat yang kita berdua tahu. Hanya kerana masa dan keadaan, kita tidak menjalankan majlis mengikut adat. Biarkan apa orang lain kata. Cukup keluarga kita yang tahu. Kita lebih dahulukan syariat berbanding adat. Cincin telah tersemat di jari tanda ikatan yang sepatutnya telah lama diikat dengan janji sehidup semati ke syurga.

Bakal suami.

Kesempitan hidup suatu masa dahulu membuatkan diri berada dalam keadaan yang keterbatasan peluang dan sentiasa menyedari asal usul. Mohon masa untuk berdiri sama tinggi dengan empunya Tinta Tuan yang semakin meniti di bibir manusiawi. Tidak boleh sama tinggi, sekurangnya dalam langkah yang sama dengan tujuan yang sama. Hanya dua purnama lagi untuk habis master di Sydney, tempat pertemuan dua jiwa yang akhirnya mengikat diri kita.

Jodoh pasti bertemu. Hidup ini untuk meraih redha Ilahi. Bukan bertuhankan nafsu semata.

Alwani Balqis Yusuf.

+++++

Circular Quay, Sydney.

Rindu menggamit memori.

Jauh mana aku pergi, rumah tetap dikenang. Perginya Abang Amir dijemput Ilahi yang mengejutkan semua menyedarkan aku bahawa dalam hidup ini tiada apa yang kekal hatta orang yang kita sayangi. Kematian terlalu pasti. Pentingnya meraih redha Ilahi. Bukan bertuhankan nafsu semata.

Kapal bersilih ganti. Begitu juga manusia yang datang dan pergi. Dengan izin Ilahi, moga setiap cinta manusiawi kekal hingga ke Jannah Firdausi.

Abang Amir, Al sudah bertemu dengan calon pilihan abang. InsyaAllah, baik untuk abang, baik juga buat Al. Doakan kebahagiaan Al. InsyaAllah, di Jannah kita akan selamanya bersama.

Tuan, masa yang dipinta hanya tinggal beberapa minggu lagi. Mohon terus doa agar hubungan kita direstui dan diberkati oleh Allah.

Sungguh, doa pengikat dua hati yang berjauhan. Doa senjata mukmin.



Danga Bay, JB.

Rindu memberikan kekuatan untuk terus berjuang.

 Rindu pada arwah umi, aku membawa diri ke Sydney memenuhi impian umi mahu melihat aku belajar di luar negara. Rindu pada abi di Kuala Lumpur, aku melibatkan diri dengan aktiviti agama di universiti. Rindu pada Iqbal, doa ku kirimkan buatnya di sana. Rindu pada bakal permaisuri hati, pada Allah ku serah semuanya dan segalanya.

Kapal dicipta bukan untuk disimpan di pelabuhan tapi untuk belayar mengharungi lautan.

Abi, masanya hampir tiba. Angah sentiasa perlukan restu dan tunjuk ajar abi untuk mengemudi sebuah bahtera hingga ke syurga.

Alwani, jalan juang tidak pernah sunyi dengan mehnah dan ujian. Jika dulu boleh lalui, moga untuk terus kuat selepas ini. Cinta seorang hamba pada Tuhannya sering diuji kerana ganjaran dijanjikan Allah tidak ternilai harganya.

Sungguh, doa sumber kekuatan. Doa senjata mukmin.



 ***TAMAT***

Tiada ulasan:

Catat Ulasan