"Fir, bila lagi giliran enta?" Syahmi bertanya sebaik sahaja mereka bersalaman dengan pengantin lelaki. Rayyan segak berbaju Melayu berwarna putih seakan silver itu. Seri pengantin mungkin. Firhan ketawa sendiri. DSLR diangkat, menangkap gambar secara rawak di dalam masjid.
"Enta bila?" Muka Syahmi dipandang. Haikal di sebelah turut menunggu jawapannya.
"Tanya ana pula." Balas Syahmi.
Persoalan itu tidak dijawab oleh kedua-duanya.
“Antum berdua dah boleh bernikah. Cepat sikit. Anak ana dah nak masuk dua orang. Dapat pahala menambahkan umat Nabi Muhammad.” Ujar Haikal yang lebih berusia daripada mereka berdua. Dia juga merupakan naqib Firhan dan Syahmi. Mereka berdua tersengih kelat dan Haikal meminta izin untuk beredar. Firhan membelek DSLR miliknya.
"Assalamualaikum. Ahmad Syahmi kan?" Suara seorang gadis menyapa Syahmi menarik matanya turut menoleh pada empunya suara. Namun mata Firhan menangkap tubuh di belakang gadis yang berbual dengan Syahmi. Hatinya seakan berbisik sesuatu.
"Enta pandang apa?"