"Fir, bila lagi giliran enta?" Syahmi bertanya sebaik sahaja mereka bersalaman dengan pengantin lelaki. Rayyan segak berbaju Melayu berwarna putih seakan silver itu. Seri pengantin mungkin. Firhan ketawa sendiri. DSLR diangkat, menangkap gambar secara rawak di dalam masjid.
"Enta bila?" Muka Syahmi dipandang. Haikal di sebelah turut menunggu jawapannya.
"Tanya ana pula." Balas Syahmi.
Persoalan itu tidak dijawab oleh kedua-duanya.
“Antum berdua dah boleh bernikah. Cepat sikit. Anak ana dah nak masuk dua orang. Dapat pahala menambahkan umat Nabi Muhammad.” Ujar Haikal yang lebih berusia daripada mereka berdua. Dia juga merupakan naqib Firhan dan Syahmi. Mereka berdua tersengih kelat dan Haikal meminta izin untuk beredar. Firhan membelek DSLR miliknya.
"Assalamualaikum. Ahmad Syahmi kan?" Suara seorang gadis menyapa Syahmi menarik matanya turut menoleh pada empunya suara. Namun mata Firhan menangkap tubuh di belakang gadis yang berbual dengan Syahmi. Hatinya seakan berbisik sesuatu.
"Enta pandang apa?"
Sergahan Syahmi menyedarkan lamunan Firhan. Firhan beristighfar. Kemudian dia menggeleng.
"Siapa tu tadi?" Tubuh yang berjubah ungu itu hilang di pandangannya. Malah mereka semua telah keluar dari dalam masjid. Hanya tinggal mereka berdua di situ.
"Sepupu ana. Dia kawan kepada adik Rayyan."
"Ohh.." Hanya itu balasan Firhan.
Mereka melangkah menuju ke kereta. Firhan memandang sekeliling mencari bayangan seseorang. Namun perasaannya kuat mengatakan insan itu telah pergi. Rumah Rayyan di Kampung Tengah, Puchong ditujui.
======
"Kawan Angah kata Adik keluar dengan sekumpulan lelaki. Angah taknak dengar cerita buruk tentang Adik lagi lepas ni. No matter how, you should stop doing that stupid thing. Understood?" Kata-kata Umair tegas menyapa gegendang telinganya. Muka Lisa pucat. Dah la dapat melarikan diri daripada 'monyet-monyet' tu satu hal. Belum sempat menjelaskan perkara sebenar, sampai je rumah terus dapat 'sarapan' best. Nasib kau lah Nur Marlisa.
"Mujur Along takda kat rumah. Dah. Pergi naik atas dan mandi. Lepas tu turun makan." Laju je kaki Lisa beredar sebaik sahaja Umair memberi izin. Baru di anak tangga pertama, baru teringat dia puasa sunat.
"Adik puasa hari ni. Angah makan je lah ya. Adik ada kerja sikit."
Belum sempat Umair bertanya, dia terus berlari mendaki anak tangga. Umair pelik dengan satu-satunya adiknya itu.
"Sayang, kau dah sampai rumah?" Panggilan telefon daripada Dahlia melegakan seketika benak fikirannya. Dia yakin Rayyan akan menyoalnya nanti sebaik membaca sms daripada lelaki itu.
"Alhamdulillah. Almost three hours ago. Isha macam mana? Dia ok je kan?"
"Masih trauma dengan kejadian tu."
"Ya. Aku faham. Nanti bila-bila aku free, aku singgah rumah family dia." Nafas ditarik perlahan. Masih terasa kepenatan akibat berlari jauh pada dinihari.
"Kau ok tak Lisa? Kalau tak larat, buka je puasa tu." Tawa Lisa kedengaran di hujung talian.
"Sah kena marah dengan abang kau kan." Duga Dahlia. Lisa sengih di depan cermin.
"Macam tak biasa." Balas Lisa pendek.
"Kau tak cerita hal sebenar?"
"Tunggulah reda sikit. Aku pun taknak fikir. Yang penting, semangat Isha pulih dulu."
"Okey, up to you. Aku pun tahu kau macam mana. Degil."
Tawa mereka bergabung.
"By the way Lisa. Aku tak dapat bayangkan suami kau nanti bila tahu isteri dia ni super ganas tujuh petala." Dahlia terus mematikan telefon sebaik menghabiskan ayat itu. Lisa pada mulanya nak marah. Kemudian ketawa sendiri.
"Suami.." Lisa berbisik sendiri sebelum namanya dipanggil oleh Iman di luar pintu. Habislah kau Lisa...
======
"Lisa, abang kau tu famous kan? Dah lah kahwin dengan anak datuk. Untunglah kau." Tiha mengambil tempat di depan Dahlia. Ha? Kak Iman anak datuk? Kenapa aku tak tahu? Lisa buat muka pelik.
"Salah orang lah Tiha kau tanya Lisa ni. Dia mana nak kisah semua tu."
"Bukan tak kisah, tapi serius aku tak tahu. Along pun takda cakap." Balas Lisa. Tiha sudah mengekek ketawa.
"Lisa.. Lisa.. Apa yang kau tahu? Jangan cakap kau pun tak tahu, kakak ipar kau tu sebenarnya Pengerusi Untaian Kasih." Tiha bersuara lagi sambil memandang Dahlia.
"What?" Soal Lisa kuat. Dahlia dan Tiha tersenyum sesama sendiri bila ada beberapa lelaki menoleh ke arah mereka di tepi tasik itu.
"Tak boleh kuat lagi kau menjerit?" Dahlia mencubit lengan Lisa.
"Heee. Sorry darl. Maksud kau, Kak Hawa?"
"Ada yang panggil Kak Hawa, ada yang panggil Kak Wani. Dan ada yang panggil Kak Iman. Iman Hawani binti Saiful Izham." Dahlia berkata sambil melihat sekitar tasik.
"Allah! Along selalu sebut Kak Iman. Aku pun tak berapa perasan muka. Ye lah. Kat luar dia berpurdah." Lisa menepuk dahinya kuat.
"Nur Marlisa kan. Macam tak kenal." Ejek Tiha selamba. Masa Rayyan kahwin dulu dia hanya pergi majlis pernikahan je. Masa kenduri, dia melarikan diri. Bising Rayyan dan Umair dia tiada pada hari majlis. Lepas seminggu baru dia ada di rumah dan terpaksa la dia dengar bebelan Umair. Nasib baik masa tu Rayyan tenang macam biasa. Baru ok beberapa hari, dia buat hal lagi yang terus mengundang kemarahan Rayyan. Lisa tersenyum sendiri.
"Itu Along kau kan?" Soal Dahlia tiba-tiba. Lisa kaget. Stokin di kaki dibetulkan. Beg dicapai. Dia bingkas bangun.
"I got to go. See you later." Lisa terus pamit pergi tanpa pedulikan panggilan Tiha dan Dahlia.
"Assalamualaikum." Sapa seorang lelaki.
"Waalaikumussalam. Kau Syahmi. Aku ingatkan siapa tadi." Dahlia turut berkira mahu beredar sebelum sepupunya itu menegurnya. Tiha berdiri di sebelah menemani Dahlia. Sms yang baru masuk dibaca dan telefon diberi kepada Dahlia.
"Ada usrah tadi. Kebetulan jumpa kau ni, Mak Uda ajak datang rumah malam esok. Ada tahlil untuk arwah Ili.” Kata Syahmi.
“InsyaAllah. Thanks bagitahu aku. Aku balik dulu.”
“Datang naik apa? Aku hantarkan je lah.”
“Eh, takpe! Lisa dah tunggu kami kat depan sana.”
"Lisa? Adik Rayyan?"
"Kau kenal ke?"
"Kau lebih kenal mungkin siapa Nur Marlisa."
Dahlia berpandangan dengan Tiha mencari maksud lelaki itu. Namun persoalan itu terbiar sahaja bila ada seorang lelaki lagi memanggil Syahmi. Bukan abang Lisa, tapi seseorang yang membuatkan Lisa melarikan diri selama ini.
=====
Lisa merenung sekeping potret yang dilukisnya dahulu. Wajah itu yang kerap muncul dalam bayangannya sejak arwah walid meninggal. Dilakar pada sekeping kertas bersaiz A6. Mana tahu, wajah itu hadir depan matanya sekarang. Dia mahu mencari kepastian, namun egonya membatasi tindakannya. Buat apa mahu ambil tahu seseorang yang tiada kaitan dengan hidupnya. Dicampaknya bayangan misteri itu jauh-jauh.
"Assalamualaikum. Boleh Along masuk?" Salam di luar pintu menarik Lisa pada dunia nyata. Potret tadi disimpan semula dalam buku ungu kesayangannya. Langkahnya menuju ke pintu bilik.
"Waalaikumussalam. Masuklah.."
"Adik tak keluar ke?" Lisa merenung muka Rayyan. Kemudian dia menguntum senyuman.
"Adik letih."
"Letih?"
"Letih nak melarikan diri daripada kehidupan. Letih nak memahami perasaan sendiri. Letih nak dengar celoteh Angah tiap masa." Rayyan ketawa. Diusapnya kepala Lisa. Lisa mula sebak. Teringat pada arwah walid yang selalu memanjakannya begitu.
"Dik, hidup ini satu perjuangan. Bukan pelarian." Ujar Rayyan lembut. Lisa mengangguk. Ayat itu pernah didengarinya dulu. Air mata cuba ditahan keluar. Dan sekarang, seringkali ayat itu keluar dari mulut abang sulungnya.
"Perjuangan untuk masuk ke syurga Ilahi. Perjuangan untuk capai solehah, gapai mardhatillah dan husnul khatimah." Sambung Rayyan lagi. Dia tahu adiknya itu mengerti.
"Mesti Along dan Angah malu kan dapat adik perempuan macam Adik ni." Lisa menduga hati abangnya.
"Apapun yang terjadi, Nur Marlisa tetap adik kesayangan Along dan Angah. Adik kena ingat tu." Pesan Rayyan. Lisa seakan bungkam. Dia tahu, dengan perwatakan gila-gilanya sering mengundang kemarahan Umair. Dan dia tahu Umair menegurnya bukan kerana benci tapi sayang.
"Along, kenapa Angah tak kahwin lagi?" Lisa mengubah topik perbualan.
"Sebab Angah nak Adik kahwin dulu. Itu janji Angah pada walid." Sekali lagi Lisa kehilangan kata. Dia tidak mahu Rayyan bertanya tentang dirinya, rupanya soalan dia sendiri menjerat tuannya. Kedatangan Rayyan ke biliknya punya maksud. Sebaik Rayyan keluar bilik, emel daripada Dahlia dibuka. Lisa mengukir senyuman.
======
"Along tak larang Adik ke Sabah?"
"Sabah je Ngah. Bukan jauh pun. Lagipun Adik dah setuju untuk kahwin lepas dia habis Sarjana. Ke Angah tak sabar nak kahwin cepat ni?"
"Ke situ pula Along ni. Bukan apa Long. Angah takut Adik tu main helah. Lain dia kata, lain yang dia buat."
"Tak baik cakap macam tu Angah."
"Kak Long, masa Along ke Syria dulu macam-macam hal Adik buat. Angah bukan nak burukkan dia, tapi Along pun faham kan dia macam mana. Suruh pergi usrah taknak. Suruh pergi kelas agama pun liat."
"Mungkin Angah tak tahu sesuatu, Abang pun." Ujar Iman. Rayyan tenang mendengar ayat yang isterinya bakal keluarkan. Umair pun.
"Adik. Nur Marlisa binti Hakimi. Dia merupakan juara tilawah di universiti. Dia juga Qariah terbaik. Dan lebih penting, dia adalah seorang yang sangat dikenali dan disenangi dalam Untaian Kasih."
Umair terpana. Rayyan memandang Iman meminta kepastian.
"Adik tak kenal Iman. Di Untaian Kasih, Adik panggil Iman dengan nama Kak Hawa. Selalu dia bercerita tentang Abang dan Angah. Dan setiap kali dia sebut nama Abang dan Angah, dia seakan mahu menangis tapi dia pantas menyembunyikan di sebalik wajahnya yang ceria."
"Kak Long dulu satu universiti ke dengan dia?"
"Kak Long yang in charge program tu dulu. Tapi masa pemberian hadiah, Adik tak naik pentas. Hanya wakilnya. Firhan ada masa tu sebab dia Qari terbaik."
"Kenapa Adik tak pernah cerita?" Soal Rayyan pelik.
"Iman pernah tanya. Tapi Adik kata cukuplah Allah yang tahu siapa dia sebenarnya. Dia dah tunaikan hajat arwah walid untuk melihat dia jadi Qariah, tapi dia masih gagal sebenarnya."
"Maksud Kak Long?"
"Dia gagal jadi adik yang baik dan anak yang solehah."
Lisa menangis di balik dinding. Niat awalnya mahu menyertai perbualan mereka terbantut. Dia tidak pernah sangka, wanita asing yang dahulunya menjadi teman bicara, rupa-rupanya kakak iparnya sekarang. Lidahnya kelu. Langkahnya mati. Hatinya terus berbisik sesuatu yang perlu dia lakukan.
=====
"Kau taknak jumpa Firhan dulu ke?"
"Untuk?"
"Dia kan tunang kau."
"So? What do you expect from me? Nak pergi jumpa dia untuk minta izin. Macam tu? Come on. He's not my husband. In future too is not confirmed yet."
"Bukan tu maksud aku. Cuma.."
"Apa-apa dia nak tahu tentang aku, Along dengan Angah ada. Aku harap kau faham Lia." Pintas Lisa sebelum Dahlia membuat hatinya berbelah-bahagi. Tiket di tangan dipandang. Bibirnya menguntum senyuman.
"Lisa, kau pergi jauh tahu. Dah la seorang diri."
"Allah kan ada."
"Aku tak tahu macam mana Firhan boleh jatuh cinta dengan kau ni. Degil."
"Ingat aku tak laku ke?"Perli Lisa.
Mereka berdua ketawa. Wajah manis Lisa kelihatan berseri sekali. Mungkin pemergiannya kali ini benar-benar membawa hatinya sekali. Hati yang selama ini dibiarkan sepi sendiri. Dahlia tidak dapat mengagak apa yang berada di hati gadis itu sekarang.
"Abang-abang kau mesti marah kalau tahu."
"Aku harap mereka mengerti."
"Bukan semudah tu Lisa. Apatah lagi tunang kau. Seolah kau tak ikhlas menerima dia. Kau bertunang dulu pun sebab abang-abang kau."
"Ikhlas tu boleh dilihat melalui lisan eh. Kalau ada jodoh, bumi Allah ni terasa kecil je. Jauh macam mana pun, dia tetap sabar tunggu aku. Itupun jika dia yakin pada jodoh dan takdir."
"Lisa.. Lisa.. Jangan satu hari nanti, ayat kau makan diri sudah. Allah tu Maha Mendengar, Maha Berkuasa. Bila Dia kata ya, tiada apa yang boleh kata tidak."
Lisa mengukir senyuman. Sejambak lili putih diberikan oleh Dahlia pada gadis itu sebelum mereka berpisah.
=====
Rayyan dan Umair melangkah masuk ke dalam Selera Putra selepas solat Zohor di Masjid Putra yang tersergam indah di situ. Udara nyaman Selera Putra segera memeluk tubuh. Dingin, eksklusif dan dibarisi berbelas kiosk termasuk café-café terkenal. Mereka menuju ke Hameed Nasi Kandar. Tidak ramai pengunjung waktu itu.
“Ada khabar berita daripada adik enta?” Jus oren dihirup perlahan. Kitab Sirah Nabawiyyah Al-Raheeq al-Makhtum diletakkan di kerusi kosong. Wajah Umair dipandang sekilas.
“Fir, mimpi lah dia nak call kami ni. Enta bukan tak kenal dia macam mana. Degil.” Firhan tersengih. Faham bakal iparnya yang sebaya dengannya itu lebih tegas berbanding abangnya.
“Ana tak tahu apa yang Adik.. err.. maksud ana Lisa boleh buat macam tu. Betul-betul buat ana sakit kepala.” Ujar Umair lagi.
“Takpe, ana faham enta dah terbiasa panggil dia Adik. Dengan Akh Rayyan pun dia tak bercerita?”
“Along pun buntu nak mencari. Nak kata ke Abu Dhabi tak mungkin. Dia takkan pergi tempat yang orang tahu dia suka.”
“Kawan-kawan dia?” Firhan terus teringat pada sepupu Syahmi, yang selalu bersama gadis itu.
“Kak Long ada tanya, tapi biasalah. Adik dah warning awal-awal agaknya.” Umair ketawa perlahan. Tak tahu apa salah dia dan Rayyan membesarkan gadis itu. Segalanya berubah sejak kematian walid mereka. Apatah lagi, Lisa dibesarkan tanpa kasih sayang seorang ibu. Namun, mereka optimis. Bahawa apa yang berlaku ini adalah ujian daripada Allah. Bukankah wanita itu fitnah buat lelaki?
Selesai makan, mereka beredar ke tepi tasik. Sekadar mencari ketenangan dan mensyukuri anugerah Allah kepada hambanya. Mujur cuaca mendung tapi tidak seperti mahu hujan.
“Boleh ana tanya sesuatu yang agak peribadi?” Umair bertanya. Mahu mendapatkan jawapan kepada persoalan yang dah lama dia musykil. Memenuhi kata hati yang mendesak.
“Silakan.”
“Kenapa adik ana?” Firhan diam. Tahu soalan itu yang kerap ditanya kepada dia. Syahmi dan ahli usrah yang lain pun pernah bertanyakan perkara yang sama. Mujur, kedua orang tuanya mengerti. Naqibnya sendiri berulang kali pesan buat istikharah. Firhan membuang pandang ke arah sekumpulan kanak-kanak sekolah yang berjalan di situ.
“Maaf jika ana lantang.” Kebisuan Firhan mengundang rasa tidak enak di hati Umair. Firhan hanya ketawa kecil.
“Maafkan ana juga. Ana faham soalan enta. Sebab enta bukan orang pertama yang tanya ana kenapa adik Rayyan, kenapa adik Umair. Sister Hawa pernah cerita mungkin siapa Marlisa yang sebenarnya. Cukuplah itu menjadi jawapan untuk soalan enta tadi. Iman tak dapat diwarisi tapi adik enta dibesarkan dengan tiga orang lelaki yang hebat. Ana yakin, dia punya sebab tertentu. Biarlah masa yang membawanya kembali dan ana nak bersama antum menjaga dia hingga ke syurga.”
=====
A compass gives you the confidence that you are not lost; you know the general direction you are going, but you may not know exactly where that direction will lead you.
Lisa membaca ayat itu berulang kali. Cuba menghadamkan. Namun begitu sukar otaknya mentafsir ayat yang mudah itu. Ditutupnya buku berkulit hitam itu. Buku milik teman kuliahnya, Janet. Angin laut menampar mukanya perlahan. Rindu bersarang di hatinya. Rindu pada Along dan Angah di Malaysia. Buku ungu miliknya pula dibuka. Sekeping potret dicapai. Ya, hampir separuh hatinya merindui wajah itu. Cepat-cepat dia beristighfar. Tidak mahu meletakkan cinta manusia melebihi cinta kepada Allah.
''Jodoh kita sudah tercipta sejak kita berumur 4 bulan di dalam perut ibu.''
Kata-kata Dahlia bermain di mindanya. Diakah jodohku? Lisa bertanya sendiri. Jantungnya seakan berlari kencang 240km/h tiba-tiba. Dia menarik nafas perlahan.
“No Nur Marlisa. No. He’s not here. You’re not in Malaysia right now.” Lisa bersuara perlahan.
“If I’m here?” suara lelaki memecah gegendang telinganya. Sebaik dia menoleh, terus buku di tangan jatuh ke bumi menyembah pepasir di pantai. Potret di tangannya terlepas dan melayang pergi ke pemilik wajah di potret itu.
“You..” Lisa bungkam. Tidak tahu mahu berkata apa. Dipalingnya wajah untuk tidak terus menatap wajah yang menjadi bayang-bayangnya selama ini. Dia beristighfar. Membuang perasaan yang syaitan mula bisikkan ke dalam hatinya.
“Auckland telah mengubah Nur Marlisa binti Hakimi menjadi orang yang baru. Yang selama ini dia menyorokkan daripada semua sejak pemergian Ustaz Hakimi menghadap Ilahi. A Master of Science student at The University of Auckland. Sejauh ini enti melarikan diri. Menyepikan diri daripada semua, bahkan daripada saudara kandung sendiri. Kenapa Nur Marlisa binti Hakimi?”
Lisa memeluk tubuh. Air mata yang hampir keluar cuba ditahan. Bukan sekarang masanya mahu cengeng di depan lelaki berkemeja ungu muda ini. Bukan sekarang. Apatah lagi antara mereka tiada mahram. Wajah Rayyan dan Umair bermain di kepala silih berganti. Namanya yang disebut penuh oleh lelaki itu turut melemahkan jiwanya tika itu. Nama itu tiada lagi kedengaran sejak dia meninggalkan Malaysia beberapa bulan yang lepas.
"Kalau ada jodoh, bumi Allah ni terasa kecil je."
Ayat itu disebut perlahan oleh hatinya. Ayat yang pernah dituturkannya pada Dahlia. Dia meraup mukanya dan terus meninggalkan lelaki itu. Tidak perlu mukadimah panjang, Dia tahu lelaki itu bersama Rayyan. Hampir dia terlupa, Rayyan pernah berkata mahu ke Auckland menziarahi keluarga lelaki itu. Dan dia juga memang tak pernah tahu, lelaki itu menyambung pHD di The University of Auckland!
=====
Mulut Lisa kumat-kamit membaca surah Ar-Rahman. Hanya gerakan lidah yang kelihatan. Dia berharap 10 jam dari Auckland ke Kuala Lumpur pantas berlalu. Tidak betah untuk bersama mereka bertiga dalam penerbangan itu setelah sekian lama. Bagaikan ada jurang. Jurang yang dia sendiri ciptakan selama ini. Sebaik habis membaca surah itu, mp3 dicapai. Lagu Teman Sejati nyanyian Brother terus kedengaran di cuping telinga. Lisa geram. Mukanya berubah. Lagu itu seolah memerli keadaannya tika itu. Rupanya tindakannya itu diperhatikan oleh abang-abangnya. Hanya insan itu dalam dunianya sendiri bersama Al-Quran di tangan.
“Adik, what’s wrong?” Soal Rayyan. Insan itu menoleh pada Lisa yang berada di antara Rayyan dan Umair. Lisa diam dan hanya menggelengkan kepala.
“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?” suara lelaki di sebelah Umair menyentak lamunan Lisa. Riak mukanya berubah. Umair perasan perubahan itu. Tangan kanan Lisa digenggamnya erat. Sejuk seperti ais tangan adiknya. Lisa memandang Rayyan. Wajah abangnya itu persis arwah walidnya.
“Adik nak tidur.” Lisa berkata perlahan. Mengelakkan situasi yang canggung seperti itu. Tawa kecil milik lelaki di sebelah Rayyan kedengaran. Lisa menyuruh hatinya sabar. Sabar kerana tidak boleh melarikan diri seperti selalu. Apatah lagi dia diapit oleh abang-abangnya.
“Dalam masa sebulan, walimah Adik berlangsung.” Sebaris ayat dari mulut Umair membuka kembali seluas-luasnya mata Lisa.
“Angah, kita cakap hal itu di rumah.” Rayyan pantas memintas sebelum Umair dan Lisa berbalas kata. Lisa menoleh pada insan di sebelah Umair. Hanya senyuman bergayut di wajah itu.
Lisa memejamkan mata kembali. Namun perbualan di sebelah menarik minatnya.
“Subhanallah. Memang betul muka enta. Siapa lukis potret ni?”
“Adik enta.”
“Adik ana?”
Dan Lisa terus tutup mata hingga sampai di KLIA. Sebaik tiba di balai ketibaan, Lisa terus menghilangkan diri. Hanya pesanan sms dihantar kepada Rayyan.
Adik tak balik rumah. Tidur rumah Lia. Lia nak bertunang lusa.
=====
Lisa berdiri di depan cermin. Melihat dirinya sendiri. Mukanya mirip arwah ibunya, itu kata Rayyan dan Umair. Lisa mengukir senyuman. Dia yakin, perancangan Allah itu sangat baik sesuai dengan keadaan hamba-hambaNya. Inai dijari direnung. Selepas Subuh nanti, dia bakal menjadi seorang isteri, melengkapkan sunnah nabi dan membiarkan syaitan-syaitan menangis kalah. Jam di dinding baru menunjukkan angka 10. Tiha dan Dahlia sengaja diajak ke rumah menemaninya sebelum dia menamatkan zaman bujang.
“Lisa, sejak kau balik dari Auckland ni kau nampak lain. Lebih matang.” Tiha memberi komen pada gadis itu. Lisa menoleh pada empunya suara.
“Lebih matang la konon. Sampai je KLIA, terus lari pergi rumah aku. Mujur tak kena heret dengan abang-abang dia je.” Balas Dahlia. Tiha ketawa. Tahu kisah beberapa minggu lepas.
“Kau tahu semalam kami kena soal dengan abang-abang kau. Macam dalam mahkamah.” Ujar Tiha memecahkan kebisuan Lisa yang menjadi pendiam sejak balik dari Negara Kiwi itu. Tidak seperti Lisa yang dia kenal selama ini. Benarlah masa mengubah segalanya. Penampilan Lisa juga telah berubah sepenuhnya. Daripada tudung segitiga yang sentiasa dilepaskan ke depan, kini sepenuhnya bertudung labuh bulat. Tidak lagi berseluar, malah kerap dilihat Lisa berjubah. Ya, Tiha dan Dahlia akui Lisa sangat cantik begitu.
“Kenapa aku tak tahu?”
“Masa tu kau keluar nak jumpa Isha. Tapi Isha datang ke sini dengan keluarganya. Dia tak baca sms kau. Masa tu lah semuanya terbongkar. Isha dan keluarga dia meminta maaf pada abang-abang kau sebab mengheret kau dalam masalah dia selama ini.”
“Isha.. Isha.. Kan aku dah kata, semua tu biar habis kat situ je. Tak perlu nak ungkit kembali. Lelaki yang nak perkosa dia pun dah kena tangkap kan.”
“Guess what?”
Lisa membuntangkan mata meminta jawapan. Malas mahu meneka.
“Dia bakal sepupu ipar aku. Syahmi merisik dia dua bulan yang lepas. Dan dari situ, semua ni bersangkut-paut. Desakan sepupu aku tu lah. Mahu menjernihkan kembali nama kau, nama abang-abang kau.”
Rahang Lisa jatuh. Syahmi? Dan.. Takkanlah!
“Tak payah nak buat muka pelik kau tu. Bakal suami kau tu pun dah tahu kisah sebenar. Sebab dia juga Syahmi suruh Isha jumpa family kau. Dia dah tahu kau ni konon lembut tapi ganas.” Tawa mereka bertiga meletus. Hanya mereka memahami ayat itu. Benar, hanya Tiha dan Dahlia tahu siapa dia sebenarnya. Dan sudah tentu, hanya DIA di atas sana lebih memahami siapa Nur Marlisa binti Hakimi.
Jika kamu menyatakan sesuatu atau menyembunyikannya, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (Al-Ahzab:54)
=====
Seperti apa perasaan ini. Diluahkan pada manusia, takut memakan diri. Disimpan sendiri, hati meronta mahukan jawapan. Sungguh, berat sungguh ujianMu ini Allah. Kalau benar ini panahan cinta manusia yang Kau beri padaku, rela aku tidak mengenalinya. Namun, semua ini adalah aturanMu yang indah. Ini adalah takdirMu yang terbaik untuk manusia lemah dan hina seperti aku.
Ku damba insan yang teguh menyokongku. Ku damba insan yang setia menemaniku. Ku damba insan yang memimpin aku bersamanya hingga ke syurga yang kekal abadi.
Potret itu ku punya nama kini. Pemilik wajah di potret itu, insyaAllah akan menjadi syurgaku.
Potret Firdausi.
Buku ungu yang dikutipnya di tepi Mission Bay, The Waterfront dua bulan lepas ditutup sebaik sahaja ayat terakhir dibaca. Sekujur tubuh yang sedang ralit berbual dengan kanak-kanak di tepi pantai mencuri perhatiannya. Puluhan manusia yang membanjiri kawasan itu mengingatkan dia kepada suasana di Terengganu. Betapa dia tetap merindui kampung halamannya yang sangat dekat dengan pantai. DSLR dicapai. Beberapa keping gambar diambil.
“Penat?” hanya anggukan diterima. Senyuman diukir bila kamera dihala ke mukanya. Mereka berdua ketawa kecil.
“Nah, ni buku Lisa yang jatuh kat sini dulu.” Wajah Lisa berubah riak. Sangkanya buku itu tidak diambil oleh lelaki itu. Eh. Suaminya kini.
“Abang minta maaf sebab abang baca kisah dalam buku tu, dari awal hingga akhir. Tapi dengan izin Angah dan Along. Banyak benda Lisa simpan sendiri ya. Harap lepas ni, Lisa berkongsi dengan Abang walau apa jua masalah Lisa.” Lelaki itu cuba berdiplomasi. Menggunakan kuasa vetonya sebagai suami. Lisa duduk di bangku sebelah lelaki itu. Kanak-kanak yang bermain dengannya tadi melambai-lambai ke arahnya.
“Along dan Angah tahu?”
“Lisa tahu kan rukun usrah apa dia?” Soalan dibalas soalan. Lisa mengangguk lagi. Mengerti suaminya itu bukan lelaki biasa. Tetapi dididik dengan dakwah dan tarbiyah sejak kecil. Dunia D&T adalah dunianya, walaupun kini mereka di negara orang. Menyambung tugas sebagai pelajar selepas seminggu usai pernikahan mereka.
“Takruf, tafahum dan takaful. Mengenali, memahami dan melindungi.” Balas Lisa sambil membuka buku di tangan. Kepala Lisa diusap.
“Sejak walid meninggal, buku ni peneman Lisa.” Ujar Lisa sambil tersenyum.
“Kenapa melarikan diri dari kehidupan? Hidup ni sebuah perjuangan, bukan pelarian.” Ayat itu pernah didengarinya bertahun lamanya. Sejak pertama kali mereka bersua tanpa bertemu muka dalam satu majlis di universiti.
“Sebab potret tu..”
Jawapan isterinya itu tidak pelik di pendengarannya. Dia tahu perasaan itu, dia mengerti tindakan isterinya. Menjauhi adalah yang terbaik di saat hati dambakan keredhaan Ilahi.
“Tapi sekarang tak lagi. Potret tu menjadi kekuatan Lisa, menjadi syurga Lisa sekarang. Sebab pemilik wajah di potret itu kini syurga Lisa di dunia dan insyaAllah di akhirat.”
Firdaus menguntum senyuman. Tangan isterinya digenggam kemas. Mereka bangun untuk menyusuri Tamaki Drive.
“Abang cintakan Lisa kerana Abang yakin isteri Abang ni seperti Rabiatul Adawiyah. Mengejar cinta Allah sebelum cinta manusia. Apa yang Lisa rasa sejak dulu, Abang pun sama merasainya. Dan Abang tahu Lisa selalu melarikan diri daripada Abang. Kenakalan Lisa semuanya bersebab. Tapi itu semua dulu. Kita mulakan hidup yang baru dengan iman jadi sandaran kita. Izinkan Abang, Firhan Firdaus bin Abdul Aziz jadi nakhoda yang mengemudi bahtera kita hingga ke Jannah bersama putera puteri kita kelak.”
Lisa malu sendiri. Benar kata Rayyan dan Iman selepas majlis pertunangan dia dahulu. Di saat kita punya sesuatu yang sukar untuk diungkapkan, sebenarnya ada insan yang mengerti perasaan itu tanpa kita luahkan. Viaduct Harbour ditujui oleh mereka berdua. Di Auckland New Zealand, kisah cinta mereka bermula..
=====
Teman Sejati
Selama ini ku mencari-cari teman yang sejati buat menemani perjuangan suci..
Bersyukur kini padaMu Ilahi, teman yang dicari selama ini telah ku temui..
Dengannya di sisi perjuangan ini senang diharungi, bertambah murni kasih Ilahi..
KepadaMu Allah ku panjatkan doa agar berkekalan kasih sayang kita..
Kepadamu teman ku pohon sokongan, pengorbanan dan pengertian..
Telah ku ungkapkan segala-galanya...
KepadaMu Allah ku pohon restu agar kita kekal bersatu..
Kepadamu teman teruskan perjuangan, pengorbanan dan kesetiaan..
Telah kuungkapkan segala-galanya, itulah tandanya kejujuran kita..
***TAMAT***
Tiada ulasan:
Catat Ulasan