Khamis, 7 Disember 2017

Lima.

"Fir, bila lagi giliran enta?" Syahmi bertanya sebaik sahaja mereka bersalaman dengan pengantin lelaki. Rayyan segak berbaju Melayu berwarna putih seakan silver itu. Seri pengantin mungkin. Firhan ketawa sendiri. DSLR diangkat, menangkap gambar secara rawak di dalam masjid.

"Enta bila?" Muka Syahmi dipandang. Haikal di sebelah turut menunggu jawapannya.

"Tanya ana pula." Balas Syahmi.

Persoalan itu tidak dijawab oleh kedua-duanya.

“Antum berdua dah boleh bernikah. Cepat sikit. Anak ana dah nak masuk dua orang. Dapat pahala menambahkan umat Nabi Muhammad.” Ujar Haikal yang lebih berusia daripada mereka berdua. Dia juga merupakan naqib Firhan dan Syahmi. Mereka berdua tersengih kelat dan Haikal meminta izin untuk beredar. Firhan membelek DSLR miliknya.

"Assalamualaikum. Ahmad Syahmi kan?" Suara seorang gadis menyapa Syahmi menarik matanya turut menoleh pada empunya suara. Namun mata Firhan menangkap tubuh di belakang gadis yang berbual dengan Syahmi. Hatinya seakan berbisik sesuatu.

"Enta pandang apa?"

Empat.

Puteri Harbour seakan sepi pada waktu tengahari. Walaupun pada ketika itu cuti umum. Beberapa pasangan pengantin bergambar mengabdikan kenangan berlatarbelakangkan kapal-kapal mewah. Hakim menoleh pada susuk tubuh yang acapkali dia nampak pada waktu itu.

"Senyum sorang-sorang ni makruh cik adik."

Balqis terkejut. Ditoleh kepada empunya diri yang berjalan menghampirinya. Dia kaget. Bayangan pengantin yang bergelak-ketawa di depannya terbang pergi.

"Hakim. Hakim Iskandar."

Tanpa dipinta, lelaki itu memperkenalkan diri. Balqis hanya membisu. Masing-masing memandang ke arah pengantin Cina yang bergambar di depan mereka. Jarak mereka boleh dikatakan terpisah oleh tiga orang.

"Hakim Iskandar. Nama macam lelaki kaya. Lelaki berada. Lelaki playboy."

Balqis menggumam perlahan namun cukup kuat pada pendengaran Hakim terutama ayat yang terakhir. Lelaki itu menoleh seketika ke arah gadis itu meminta kepastian. Balqis menyembunyikan tawanya menyedari kesilapan sendiri.

"I got to go. Thanks for the reminder then."

Balqis pamit pergi meninggalkan Hakim yang terpinga-pinga dengan reaksinya.

"Lady, can you do me a favour?"

Tiga.

Laskar Pelangi. Bibir Ilyani mengukir senyuman. Teringat masa dia di Tahun 2, cerita itu ditonton beramai-ramai termasuk pensyarah sekali untuk sebahagian daripada tugasan subjek TITAS. Punyalah dia cover untuk tidak menangis masa tengok cerita tu. Ye lah. Sekelas ada lah lebih 30 orang. Mana boleh cengeng depan classmates. Ilyani ketawa kecil.

“Kau kenapa tiba-tiba ketawa?” tegur Zira.

“Teringat masa aku tengok cerita ni dulu.” Hanya itu balasan daripada Ilyani. Mata mereka kembali fokus pada skrin laptop. Mengejar pelangi. Ilyani berbisik di dalam hati.

“Tudung Ariani kau ke yang tergantung kat ampaian?”

 Ilyani yang sedang mengunyah kerepek pisang berhenti.

“Sejak bila aku pakai tudung macam tu?”