Khamis, 19 September 2019

K : 1

Tiska dan Alia sedang merehatkan diri di tepi gelanggang tenis selepas hampir dua jam bermain. Mereka tidak terus balik, sebaliknya hanya melepak di situ. Menikmati hari-hari terakhir mereka di universiti.

"Kau ingat lagi hari kau hilang masa kat kem masa kita second year?" Tiska tiba-tiba mengimbau memori lama.

Alia sengih kelat. Mana mungkin dia lupa. Wati memberitahunya Tiska mahu berjumpanya di tepi sungai yang tidak jauh dari tapak perkhemahan. Tapi sewaktu dia sampai di tepi sungai dan menyedari Tiska tiada di situ, baru dia perasan dia dipermainkan oleh Wati dan Fatima. Dia ingin patah balik semula ke khemah tapi langkahnya menuju ke tempat lain. Lama dia berjalan sebelum dia menyedari dia sudah tersesat jauh ke dalam hutan. Dia cuba mencari anak sungai tapi tidak dijumpainya. Dia tidak sedar apa yang berlaku selepas itu. Hampir 24 jam dia berada jauh dari kem.

Kemudian dia tertawa sendiri bila teringat Prof Anuar dan yang lain menjumpainya tengah seronok makan ayam hutan bakar di perkampungan orang asli yang majoritinya sudah memeluk agama islam.

"Part kau makan ayam bakar tu memang tak pernah terlintas dalam kepala otak aku tau Lia."

Tawa mereka bergabung. Beberapa pelajar lelaki yang sedang bermain tenis di gelanggang sebelah menoleh ke arah mereka. Alia malu sendiri bila menyedari mereka berada di tempat awam.

"Aku tengah lapar. Daripada aku nak runsing cari jalan balik ke kem, baik aku makan je dulu." Wajah terkejut Prof Anuar yang melihatnya dia ketawa ceria bersama orang-orang asli takkan dilupakannya. Pada awalnya dia berasa bersalah kerana membuatkan ramai risau dengan kehilangannya tapi kehilangannya bukan disengajakan.

"Mujur kau sihat walafiat balik ke kem semula. Kalau tak mahu teruk Wati dan Fatima aku kerjakan." Marah Tiska masih bersisa mengenangkan kejadian itu. Alia sendiri tidak faham kenapa orang lain sering mencari isu untuk dibahaskan. Kalau mahu dijadikan satu topik yang ilmiah, dia tidak kisah. Tapi jika hanya untuk mencari perkara negatif yang menjadikan punca pergaduhan, untuk apa semua itu? Tidak bolehkah kita semua hanya melihat kebaikan dan hidup secara tenang sahaja?

"Hal lama Tis." Ujar Alia memujuk Tiska. Dia tidak berdendam dengan Wati dan Fatima walaupun dua gadis itu sering menganggu kehidupannya sejak dia membuat persembahan pada majlis makan malam di fakulti mereka pada tahun pertama.

"Kau lembut hati sangat." Sinis Tiska berkata. Alia hanya tersengih. Mana mungkin Tiska tahu kisah lalunya. Tambahan pula, dia pernah melihat Fatima bersama dengan insan yang dia mahu elak daripada berjumpa seumur hidupnya.

"Kau nak pergi tengok The Night Tonight?" Alia menukar topik perbualan. Mereka jalan beriringan pergi ke kereta Tiska.

"Sorry Lia. Aku kena balik kampung esok. Malam ni aku pergi rumah kakak aku."

"Okay takpe. Aku pergi dengan Falini je lah. Kirim salam kat kakak kau."

Tiska memberhentikan keretanya di depan rumah sewa Alia. Dia mencuri pandang ke arah laman rumah sewa Alia. Walaupun dia pelik dengan siapa Alia tinggal selama ini, tapi dia tidak pernah bertanya hal itu pada Alia. Dia tahu Alia lebih daripada mampu jika menyewa sendirian.

"Lia, kenapa kau suka pergi tengok The Night Tonight?"

Bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan